Sunday, February 15, 2015
Friday, February 13, 2015
Nyanyian Mira - Bai
Pada kala aku mengambil air dari sungai Yamuna,
Dipandang Krishna senda
Dengan mataNya yang raya
Tertawa bertanya
Kendiku telungkup aku pun lalu
Penuh heran dan ragu
Semenjak itu semayam Ia dalam kalbuku
Krishna berambut ikal.
Hentikan segala mantera, jauhkan penawar semua
Lepaskan aku dari akar dan jamu!
Bawakan daku Krishna berambut hitam
Bawakan daku Krishna bermata cuaca!
Alisnya, busurnya – Pandangnya, panahnya
Dibidiknya – lepaskan – tepat!
Oleh :
Amir Hamzah
Thursday, February 12, 2015
Mengawan
Rengang aku daripadaku, mengikut kawalku mengawan naik.
Mewajah kebawah, terlentang aku, lemah lunak,
Kotor terhampar, paduan benda empat perkara.
Datang pikiran membentang kenang,
Membunga cahaya cuaca lampau,
Menjadi terang mengilau kaca.
Lewat lambat aku dan dia, ria tertawa, bersedih suka,
Berkasih pedih, bagai merpati bersambut mulut.
Tersenyum sukma, kasihan serta.
Benda mencintai benda …
Naik aku mengawan rahman, mengikut kawalku membawa warta.
Kuat, sayapku kuat, bawakan aku, biar sampai membidai-belai
Celah tersentuh, di kursi kesturi.
Oleh :
Amir Hamzah
Wednesday, February 11, 2015
Memuji Dikau
Kalau aku memuji Dikau,
Dengan mulut tertutup, mata tertutup,
Sujudlah segalaku, diam terbelam,
Di dalam kalam asmara raya.
Turun kekasihmu,
Mendapatkan daku duduk bersepi, sunyi sendiri.
Dikucupnya bibirku, dipautnya bahuku,
Digantunginya leherku, hasratkan suara sayang semata.
Selagi hati bernyanyi, sepanjang sujud semua segala,
Bertindih ia pada pahaku, meminum ia akan suaraku …
Dan, iapun melayang pulang,
Semata cahaya,
Lidah api dilingkung kaca,
Menuju restu, sempana sentosa.
Oleh :
Amir Hamzah
Monday, February 9, 2015
Panji Di Hadapanku
Kau kibarkan panji di hadapanku.
Hijau jernih di ampu tongkat mutu-mutiara.
Di kananku berjalan, mengiring perlahan,
Ridlamu rata, dua sebaya,
Putih-putih, penuh melimpah, kasih persih.
Gelap-gelap kami berempat, menunggu-nunggu,
Mendengar-dengar, suara sayang, panggilan-panjang,
Jatuh terjatuh, melayang-layang,
Gelap-gelap kami berempat, meminta-minta,
Memohon-mohon, moga terbuka selimut kabut,
Pembungkus halus, nokta utama,
Jika nokta terbuka-raya, jika kabut tersingkap semua
Cahaya ridla mengilau kedalam
Nur rindu memancar keluar.
Oleh :
Amir Hamzah
Thursday, February 5, 2015
Kurnia
Kau kurniai aku,
Kelereng kaca cerah cuaca,
Hikmat raya tersembunyi dalamnya,
Jua bahaya dikandung kurnia, jampi kau beri,
Menundukkan kepala naga angkara.
Kelereng kaca kilauan kasih,
Menunjukkan daku tulisan tanganMu
Memaksa sukmaku bersorak raya
Melapangkan dadaku, senantiasa sentosa
Sebab kelereng guli riwarni,
Kuketahui langit tinggi berdiri,
Tanah rendah membukit datar.
Kutilik diriku, dua sifat mesra satu:
Melangit tinggi, membumi keji.
Oleh :
Amir Hamzah
Wednesday, February 4, 2015
Buah Rindu 4
Kalau kekanda duduk menyembah
duli dewata mulia raya
kanda pohonkan untung yang indah
kepada tuan wahai adinda.
Kanda puja dewa asmara
merestui remaja adik kekanda
hendaklah ia sepanjang masa
mengasihi tuan intan kemala
Anak busurnya kanda gantungi
dengan seroja suntingan hauri
badannya dewa kanda lengkapi
dengan busur sedia di jari.
Setelah itu kandapun puja
dewata mulia di puncak angkasa
memohonkan rahman beribu ganda
ia tumpahkan kepada adinda.
Tinggallah tuan tinggallah nyawa
sepanjang hari segenap masa
pikiran kanda hanyalah kemala
dilindungi Tuhan Maha Kuasa.
Baik-baik adindaku tinggal
aduhai kekasih emas tempawan
kasih kanda demi Allah kekal
kepada tuan emas rayuan.....
Kalau mega berarak lalu
bayu berhembus sepoi basah
ingatlah tuan kanda merayu
mengenangkan nasib salah tarah.
Kalau hujang turun rintik
laksana air mata jatuh mengalir
itulah kanda teringatkan adik
duduk termenung berhati khuatir.
Oleh :
Amir Hamzah
Tuesday, February 3, 2015
Buah Rindu 3
Puspa cempaka konon kirimkan
pada arus lari ke laut
akan duta kanda jadikan
pada adinda kasih terpaut.
Teja bunga seroja dalam taman
kemala hijau di atas mahkota
orang berikan pada kekanda
tiada kuambil kerana tuan.
Adakah gemerlapan bagi kemala
adakah harum lagi seroja
pada beta tumpuan duka
sebab tuan lalu mengembara.
Tuan lalu tiada berkata
haram sepatah sepantun duli
kanda tinggal sepenuh wangsangka
pilu belas di dalam hati.
Hatiku rindu bukan kepalang
dendam beralik berulang-ulang
air mata bercucur selang-menyelang
mengenangkan adik kekasih abang.
Diriku lemah anggotaku layu
rasakan cinta bertalu-talu
kalau begini datangnya selalu
tentunya kekanda berpulang dahulu.
Tinggalah tuan, tinggalah nyawa
tinggal juita tajuk mahkota
kanda lalu menghadap "dewata"
bertelut di bawah cerpu Maulana.
Kanda pohonkan tuan selamat
ke bawah kaus dewata rahmat
moga-moga tuan hendaklah mendapat
kesukaan hidup ganda berlipat.
Oleh :
Amir Hamzah
Monday, February 2, 2015
Buah Rindu 2
Datanglah engkau wahai maut
Lepaskan aku dan nestapa
Engkau lagi tempatku berpaut
Di waktu ini gelap gulita.
Kicau murai tiada merdu
Pada beta bujang Melayu
Himbau pungguk tiada merindu
Dalam telingaku seperti dahulu.
Tuan aduhai mega berarak
Yang melipud dewangga raya
Berhentilah tuan di atas teratak
Anak Langkat musyafir lata.
Sesa'at sekejap mata beta berpesan
Padamu tuan aduhai awan
Arah manatah tuan berjalan
Di negeri manatah tuan bertahan?
Sampaikan rinduku pada adinda
Bisikkan rayuanku pada juita
Liputi lututnya muda kencana
Serupa beta memeluk dia.
Ibu, konon jauh tanah Selindung
Tempat gadis duduk berjuntai
Bonda hajat hati memeluk gunung
apatah daya tangan ta' sampai.
Elang, Rajawali burung angkasa
Turunlah tuan barang sementara
Beta bertanya sepatah kata
Adakah tuan melihat adinda?
Mega telahku sapa
Margasatwa telahku tanya
Maut telahku puja
Tetapi adinda manatah dia !
Oleh :
Amir Hamzah
Thursday, January 29, 2015
Tuhanku Apatah Kekal ?
Tuhanku , suka dan ria
gelak dan senyum
tepuk dan tari
semuanya lenyap, silam sekali.
Gelak bertukar duka
suka bersalinkan ratap
kasih beralih cinta
cinta membawa wangsangka...
Junjunganku apatah kekal
apatah tetap
apakah tak bersalin rupa
apatah baka sepanjang masa...
Bunga layu disinari matahari
makhluk berangkat menepati janji
hijau langit bertukar mendung
gelombang reda di tepi pantai.
Selangkan gagak beralih warna
semerbak cempaka sekali hilang
apatah lagi laguan kasih
hilang semata tiada ketara...
Tuhanku apatah kekal?
Oleh :
Amir Hamzah
Wednesday, January 28, 2015
Senyum Hatiku, Senyum
Senyum hatiku, senyum
gelak hatiku, gelak
dukamu tuan, aduhai kulum
walaupun hatimu, rasakan retak.
Benar mawar kembang
melur mengirai kelopak
anak dara duduk berdendang
tetapi engkau, aduhai fakir, dikenang orang
sekalipun tidak.
Kuketahui, terkukursulang menyulang
murai berkicau melagukan cinta
tetapi engkau aduhai dagang
umpamakan pungguk merayukan purnama.
Sungguh matahari dirangkum segara
purnama raya di lingkung bintang
tetapi engkau, aduhai kelana
siapa mengusap hatimu bimbang?
Diam hatiku , diam
cubakan ria, hatiku ria
sedih tuan, cubalah pendam
umpama disekam, api menyala.
Mengapakah rama-rama boleh bersenda
alun boleh mencium pantai
tetapi beta makhluk utama
duka dan cinta menjadi selampai ?
Senyap, hatiku senyap
adakah boleh engkau merana
sudahlah ini nasip yang tetap
engkau terima di pangkuan bonda.
Oleh :
Amir Hamzah
Tuesday, January 27, 2015
Kamadewi
Kembali pula engkau datang
kepadaku di waktu sekarang
tengah menjadi permainan gelombang
gelombang terberai di bunga karang.
Lah lama kau kulupakan
lah lampau bagi kenangan
lah lenyap dari pandangan
Tetapi sekarang apatah mula
apakah sebab, aduhai bonda
ia datang menyusupi beta?
Kau ganggu hati yang reda
kau kacau air yang tenang
kau jagakan dewi asmara
kau biarkan air mata berlinang...
O, asmara kau permainkan aku
laguan kasih engkau bisikkan
gendang kenangan engkau palu
dari kelupaan aku, engkau sentakkan.
Pujaan mana kau kehendaki
persembahan mana kau ingini
aduhai angkara Asmara dewi.
Gelak sudah beta sembahkan
cinta sudah tuan putuskan
apatah lagi dewi harapkan
pada beta duka sampaian...
kamadewi! gendewamu bermalaikan seroja
puadai padma seraga
tetapi aku sepanjang masa
duduk di atas hamparan duka!
Kamadewi! tiadakah tuan bertanyakan nyawa?
Oleh :
Amir Hamzah
Monday, January 26, 2015
Cempaka Mulia
Kalau kulihat tuan, wahai suma
kelopak terkembang harum terserak
hatiku layu sejuk segala
rasakan badan tiada dapat bergerak
Tuan tumbuh tuan hamba kembang
di negeriku sana di kuburan abang
kemboja bunga rayuan
hatiku kechu melihat tuan
Bilamana beta telah berpulang
wah, semboja siapatah kembang
di atas kuburku, si dagang layang?
Kemboja, kemboja bunga rayuan
hendakkah tuan menebarkan bibit
barang sebiji di atas pangkuan
musafir lata malang berakit?
Melur takku mahu
mawar takku suka,
sebab semboja dari dahulu
telah kembang di kubur bonda
kemboja bunga rayuan
musafir anak Sumatera
Pulau Perca tempat pangkuan
bilamana fakir telah tiada.
Oleh :
Amir Hamzah
Sunday, January 25, 2015
Purnama Raya
Purnama raya
bulan bercahaya
amat cuaca
ke mayapada
Purnama raya
gemala berdendang
tuan berkata
naiklah abang
Purnama raya
bujang berbangsi
kanda mara
memeluk dewi
Purnama raya
bunda mengulik
nyawa adinda
tuan berbisik.
Purnama raya
gadis menutuk
setangan kuraba
pintu diketuk
Purnama raya
bulan bercengkerama
beta berkata
tinggallah nyawa
Purnama raya
kelihatan jarum
adinda mara
kanda dicium
Purnama raya
cuaca benderang
permata kekanda
pulanglah abang...
Oleh :
Amir Hamzah
Saturday, January 24, 2015
Hang Tuah
Bayu berpuput alun digulung
banyu direbut buih dibubung
Selat Melaka ombaknya memecah
pukul-memukul belah membelah
Bahtera ditepuk buritan dilanda
penjajab dihanatuk haluan ditunda
Chamar terbang riuh suara
alkamar hilang menyelam segera.
Armada Peringgi lari bersusun
Melaka negeri hendak diruntun.
Galyas dan pusta tinggi dan kukuh
pantas dan angkara ranggi dan angkuh
Melaka! laksana kehilangan bapa
randa! sibuk mencari cendera mata!
"Hang Tuah ! Hang Tuah! di mana dia
panggilkan aku kesuma perwira!"
Tuanku, sultan Melaka, Maharaja Bintan!
dengarkan kata bentara kanan.
"Tun Tuah, di Majapahit nama termashur
badanya sakit rasakan hancur!"
Wah, alahlah rupanya negara Melaka
kerana laksamana ditimpa mara.
Tetapi engkau wahai kasturi
kujadikan suluh, mampukah diri?
Hujan rintik membasahi bumi
guruh mendayu menyedihkan hati.
Keluarlah suluh menyusun pantai
angkatan Pertugal hajat dinintai.
Chucuk diserang ditikami seligi
sauh terbang dilembari sekali.
Lela dipasang gemuruh suara
rasakan terbang ruh dan nyawa.
Suluh Melaka jumlahnya kecil
undur segera mana yang tampil.
"Tuanku, armada Peringgi sudahlah dekat
kita keluari dengan cepat.
Hang Tuah cuba lihati
apakah 'afiat rasanya diri?'
Laksamana Hang Tuah mendengar berita
Armada Peringgi duduk di kuala.
Mintak didirikan dengan segera
hendak berjalan ke hadapan raja.
Bukankah itu laksamana sendiri
Negeri Melaka hidup kembali.
Laksamana , cahaya Melaka, bunga pahlawan
kemala setia maralah tuan.
Tuanku, jadikan patik tolak bala
turunkan angkatan dengan segera.
Genderang perang disuruhnya palu
memanggil imbang iramanya tentu.
Keluarlah laksamana mahkota ratu
tinggallah Melaka di dalam ragu...
Marya! marya! tempik Peringgi
lelapun meletup berganti-ganti.
Terang cuaca berganti kelam
bujang Melaka menjadi geram.
Galyas dilanda pusta dirampat
Sabas Melaka su'ma di Selat !
Amuk-beramuk buru-memburu
"Tusuk-menusuk laru-melaru.
Lela rentaka berputar-putar
cahaya senjata bersinar-sinar.
Laksamana mengamuk di atas pusta
Yu menyambar umpamanya nyata...
Hijau segara bertukar warna
sinau senjata pengantar nyawa.
Hang Tuah empat berkawan
serangnya hebat tiada tertahan.
Chukuk Peringgi menarik layar
induk dicari tempat terhindar.
Angkatan besar maju segera
mendapatkan payar ratu Melaka.
Perang ramai berlipat ganda
pencalang berai tempat kesegala.
Dang Gubenur memasang lela
umpama guntur diterang cuaca.
Peluru terbang menuju bahtera
Laksamana dijulang ke dalam segara...
Oleh :
Amir Hamzah
Friday, January 23, 2015
Ragu
Asap pujaan bergulung-gulung
naik melingkar kekimu dewa
rasanya hati melambung-lambung
estu kupohonkan akan kurnia.
"Permaisurimu, Uma, sudah kupuja
seroja putih beta sembahkan
sekarang ini wahai Ciwa
pada tuanku beta paparkan".
Wajahnya arca berkilau-kilau
bibir terbuka rupa berkata
giginya tampak bersinar-sinar
bunyi keluar merdu suara.
"anakku dewi ratna juita
apatah tersimpul di dalam dada
uraikan tuan pada ayahnda
rinduan mana mohonkan sempana?"
Wajahnya jernih gilang gemilang
sentosa semayam di atas durja
padma seraga berbayang-bayang
dikucupi cahaya pernama raya.
hatinya dayang rasa terbuka
suka dan ria silih berganti
permohonan hati lupa segala
kerana cahaya menimpa diri.
Bibir berpisah melepaskan pelukan
suara lalu meninggalkan simpulan
gadis berkata melayangkan rinduan
"duli" tuanku patik pohonkan.
Oleh :
Amir Hamzah
Thursday, January 22, 2015
Tinggallah
Tinggallah tuan, tinggalah bonda
tahan airku Sumatera raya
anakda berangkat ke pulau Jawa
memunggut bunga suntingan kepala.
Pantai cermin rumu melambai
selamat tinggal pada anakda
rasakan ibu serta handai
mengantarkan beta ke pengkalan kita.
Telah lenyap pokok segala
bondaku tuan duduk berselimut
di balik cindai awan angkasa
jauh hatipun konon datang meliput.
Selat melaka ombaknya memecah
memukul kapal pembawa beta
rasakan swara yang maha ramah
melengahkan anakda janganlah duka.
layang-layang terbang berlomba-lumba
akan ibu penambah mulya.
Menuju pulau kejunjung tinggi
dalam hatiku kujadikan duka
menyampaikan pesan kataan hati.
Selamat tinggal bondaku perca
panjang umur kita bersua
gobahan cembaka anakda bawa
jadikan gelang di kaki bonda.
Gelang cempaka pujaan dewa
anakda petik di tanah Jawa
akan bonda penambah cahaya.
Oleh :
Amir Hamzah
Wednesday, January 21, 2015
Bonda 2
Batu sungai terserak putih
bintang bertabur gemerlapan cahaya
dipalut pualam pelangi persih
peraduan ibu melepaskan duka
Pohon kemboja tunduk temungkul
memayungi ibu beradu cendera
kusuma terapung tenggelam timbul
di atas lautan angin daksina.
Harum bunga melenakan ibu
sepoi angin mengulikkan bonda
patikpun tunduk berhati mutu
hendakpun menyepa tiada kuasa.
Dari jauh suara melambai
rasa bonda datang menegur
di atas awan duduk serangkai
dengan bintang angsoka hablur.
Bunga rampai di atas rimba
air selabu di pangkuan dinda
kami menangis tiada berasa
terkenangkan ibu beradu cendera.
Bunga mawar bunga cempaka
bunga melur aneka warna
dipetik dinda di halaman kita
akan penyapu telapakan bonda.
Air selabu patik bawakan
dari perigi dipagari batu
pada bonda kami sembahkan
akan pencuci telapakan ibu.
Oleh :
Amir Hamzah
Subscribe to:
Posts (Atom)